” Permainan Komputer Ninja Pencil membolehkan RM50,000 Menjadi milik siswa/i FTMK UTeM”

Pada 10 Ogos 2017 bertempat di Cyberjaya Resort & Spa, Cyberjaya, Siswa/i FTMK yang terdiri daripada pelajar program Teknologi Permainan (BITE) dan Media Interaktif (BITM) telah membawa pulang hadiah utama Intellectual Property Creators Challenge 2017 (IPCC 2017) yang berjumlah RM50,000 bagi kategori permainan komputer.

Kumpulan Alumni FTMK ini terdiri daripada Raidah binti Yazid (BITE), Nur Syazwani binti Sukormo (BITE), Muhammad Hazmin bin Wardi (BITM) dan Fatin Aqidah binti Yahya (BITE).

Permainan komputer yang dibangunkan oleh kumpulan mereka dinamakan Ninja Pencil. Ia merupakan kombinasi permainan platform dan puzzle yang bercirikan elemen tempatan. Menurut Raidah graduan kumpulan pertama program BITE yang akan bergraduat pada November tahun ini, Ninja Pencil dibangunkan menggunakan perisian Unity dan berjaya disiapkan dalam tempoh 6 bulan. Kini beliau bersama rakan-rakannya sedang giat untuk menyiapkan Ninja Pencil sehingga ke tahap 50.

Selain daripada hadiah wang, sebagai pemenang IPCC 2017 mereka turut mendapat bantuan daripada pihak MDEC dalam bentuk akses tanpa had kepada pelbagai kemudahan di MSC Malaysia Animation & Creative Content Centre’s (MAC3) , khidmat konsultasi daripada pemain industri permainan komputer dan lain-lain latihan di bawah MDEC.

Kejayaan mereka memenangi hadiah utama IPCC 2017 ini menjadi penanda aras kejayaan alumni FTMK menempatkan diri dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan dan antarabangsa.