Manifestasi Iman

MANIFESTASI IMAN
Oleh: EH

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, “Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah ia berkata baik atau diam; barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah ia menghormati tetangganya; (dan) barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhir, hendaklah ia memuliakan tamunya.”
[HR. Bukhari Muslim]

Begitu sabda Junjungan Besar Rasulullah S.A.W. bersifat tuntutan terhadap kita sebagai umatnya dalam mempersembahkan sikap dan perilaku yang murni dalam meladeni kehidupan seharian. Ia tergolong kepada 3 perkara asas, yang meliputi (1) Percakapan, (2) Sikap Hormat Menghormati, (3) Memuliakan Manusia Lain

(1) Percakapan

Dalam berkomunikasi, bercakap mahupun berinteraksi, Nabi Muhammad S.A.W. menganjurkan kita supaya berhati-hati dalam setiap bicara, agar ianya terzahir sebagai suatu konotasi murni yang menyebarkan ihsan dan sama sekali menjauhkan kerosakan dalam kehidupan kita mahupun kehidupan manusia lainnya.

Jika dengan kita berkata-kata, mampu memberi mudarat kepada manusia lain, maka berlaku diamlah, kerana berdiam yang membawa kebaikan jauh lebih besar manfaatnya berbanding berkata-kata yang mampu memberi kerosakan. Jika dalam keadaan kita berkata-kata, ianya boleh menimbulkan kekeruhan, kerosakan dan mudarat, maka berhentilah daripada berkata-kata kerana itu lebih baik memelihara keluhuran insan.

Imam Syafie malah menyaran, kepentingan berdiam ini malah tuntutan kepada manusia dalam menghentikan perdebatan yang tidak ada akhirnya, terutamanya terhadap golongan yang terklasifkasi bodoh (sombong) dan hadir untuk hanya bersengketa.

Imam Syafie
Rahimahullah berkata:
“Orang pandir mencercaku dengan kata-kata jelek. Maka aku tidak ingin untuk menjawabnya. Dia bertambah pandir dan aku bertambah lembut, seperti kayu wangi yang dibakar malah menambah wangi”. (Diwan Asy-Syafi’i, halaman 156)

Imam Syafie juga berkata:
”Berkatalah sekehendakmu untuk menghina kehormatanku, diamku dari orang hina adalah suatu jawaban. Bukanlah artinya aku tidak mempunyai jawaban, tetapi tidak pantas bagi singa meladeni anjing”.

Begitulah Imam Syafi’i yang tidak mahu langsung berdebat dengan orang bodoh (sombong) walaupun Al-Imam As-Syafie dikenal sebagai orang alim dan ulamak besar yang mahir dalam perdebatan, tapi beliau memilih berdiam kepada perdebatan yang sia-sia, yang pada akhirnya boleh mendatangkan mudarat jika dibiarkan meleret.

(2) Sikap Hormat Menghormati

Nasihat kedua Rasulullah S.A.W. (daripada hadis diperbincangkan) yang hakikatnya berupa tuntutan untuk dilaksanakan umatnya adalah keperluan di dalam menghormati tetangga.

Ianya (ya’ani tetangga) dalam konteks keadaan masa kini boleh sahaja diperluas kepada bukan hanya manusia disekitar kejiranan fizilal kita, namun mencakupi semua manusia lain yang hakikatnya berjiran dengan kita dalam dunia logikal seperti di media-media sosial.

Arahan untuk berlaku baik dan murni yang dalam bahasa yang lebih mudah, ditafsirkan sebagai perilaku hormat menghormati hati, perasaan dan apa sahaja berkaitan manusia lain ini dinyatakan dengan jelas oleh Rasulullullah S.A.W. di dalam banyak petikan-petikan hadis.

Abu Hurairah R.A. (diriwayatkan Bukhari dan Muslim) pernah berkata;  Rasulullah S.A.W. bersabda, “Tidak masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasa aman dari kejahatannya.”  Abu Hurairah R.A. juga, dalam petikan lain dikhabarkan berkata; Rasulullah S.A.W. bersabda, “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah menyakiti jirannya.”

Jelas, kepentingan dalam menghormati orang lain (jiran dan manusia yang berhubungan langsung dengan kita dalam konteks diskusi ini), adalah tuntutan yang bukan calang-calang pentingnya, dirangkumkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai antara syarat kepada iman dan hakikat (buat manusia) menuju rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Ia dapat disimpulkan dengan jelas daripada kata-kata Abdullah bin ‘Amr R.A. yang merujuk kepada Sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi; “Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap temannya. Dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap jirannya.”
[Sahih, At-Tirmidzi, Ahmad, Darimi dan Hakim]

(3) Memuliakan Manusia Lain

Perkara ketiga yang menjadi sorotan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dalam hadis yang dibincangkan (pada perenggan pertama) adalah merujuk kepada kepentingan menerima dan melayani, malah memuliakan para tetamu yang datang berkunjung.

Tuntutan ini dijelaskan kemudiannya oleh Imam Al-Nawawi (dalam kitab Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab (9/57)) yang berbunyi:
“Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat baginya untuk melayan tetamu tersebut.”

Keluasan sikap baik terhadap tetamu ini boeh dikembangkan kepada skop yang lebih besar kepada bagaimana seseorang manusia perlu melayani (malah mengasihi) siapa sahaja manusia lain (bukan hanya tetamu) yang hadir ke dalam kehidupan seseorang manusia tersebut dengan Sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”. (Riwayat Muslim)

Ianya jelas lagi terang, terdapat tuntutan yang bukan kepalang buat kita sebagai manusia untuk berlaku baik kepada sesiapa sahaja, terutamanya sesiapa sahaka yang hadir ke dalam kehidupan kita. Ianya digambarkan dengan jelas oleh sebuah riwayat oleh Muslim daripada Rasululullah S.A.W. yang berikut:
Nabi SAW menyebut yang maksudnya : “Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepada?. Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah Azza Wa Jalla. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantara kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.”

Leave a Reply