Pernahkah Malaysia layak ke Piala Dunia? Soalan lawak jenaka tahap Maharaja Lawak Mega kan? Jawabannya sudah pasti tidak. Ya TIDAK. Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia dalam sukan bolasepak. Sukan lain mungkin. Badminton selalu melakukannya menerusi Piala Thomas. Banyak sukan lain lagi menyaksikan kejayaan yang sama. Bolsepak? ‘Yillek’.
Bukankah Malaysia pernah hebat dalam bolasepak suatu masa dahulu? Mereka pernah tergolong antara pasukan terbaik di Asia suatu masa dahulu, sehingga mereka berjaya mara ke Sukan Olimpik 2 kali sepanjang sejarah peradaban bolasepak dunia.
Tidakkah itu cukup ampuh buat Malaysia yang pernah dibarisi generasi Soh Chin Aun dan Mokhtar Dahari untuk turut layak ke Piala Dunia? Tidakkah mereka antara yang terbaik di Asia ketika itu? Malah Malaysia pernah memiliki generasi sebelumnya yang hebat dengan nama-nama seperti Ghani Minhat dan Robert Choe, kenapa mereka ini tidak berjaya membawa Malaysia mara?
Bukan, bukan begitu.
Tahukah anda, Malaysia hanya pertama kali mencuba untuk mara ke Piala Dunia hanya pada 1974? Ya, hanya pada 1974, Malaysia mengambil keputusan untuk menyertai Piala Dunia yang edisi pertamanya dijalankan pada 1930 di Uruguay. Itupun kerana Malaysia berjaya mara ke Sukan Olimpik 1972, menyebabkan kerajaan membuat keputusan ini masa yang sesuai untuk mencuba pula kemaraan ke Piala Dunia.
Di Sukan Olimpik, Malaysia mara bersama-sama dua lagi pasukan daripada Asia – Iran dan Burma. Malaysia tewas 0-3 kepada tuan rumah Germany pada perlawanan pembukaan. Malaysia kemudiannya tewas lagi, kepada Amerika Syarikat pula, juga dengan keputusan 0-3. Malaysia seterusnya menutup kempen Sukan Olimpik dengan dibelasah Morocco 0-6.
Oh ya, bolasepak Sukan Olimpik ketika itu bukan seperti sekarang yang mana ianya diwakili oleh squad bawah umur 23 tahun. Dahulu, ianya dibarisi squad utama seperti mana Piala Dunia. Maka tiga kekalahan, satu daripadanya dibelasah, di Sukan Olimpik Munich menunjukkan bolasepak Malaysia (begitu juga Asia) masih jauh daripada aras bolasepak peringkat dunia (ketika itu).
Namun itu tidak menghalang FAM untuk terus cuba membawa Malaysia pertama kali ke Piala Dunia, membawa kepada percubaan pertama Malaysia (yang layak ke Sukan Olimpik) ke Pusingan Kelayakan Piala Dunia Zon Asia untuk edisi Piala Dunia 1974. Malaysia mencuba, menyertai Jepun, Korea Utara, Korea Selatan dan China yang sudah lama bersaing dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia Zon Asia.
Malaysia sepatutnya berkelebihan pada edisi 1974 itu, memandangkan Malaysia baharu mara ke Sukan Olimpik 1972, yang membawa maksud, Malaysia adalah antara 3 pasukan terbaik Asia ketika itu. Namun isu utama ketika itu adalah ketidak adilan FIFA, yang memberikan kuota tidak seimbang antara pasukan daripada Eropah dan Amerika Selatan berbanding pasukan daripada Amerika Utara, Asia dan Afrika.
Hanya satu slot diberikan kepada pasukan daripada Amerika Utara, Asia dan Afrika, berbanding banyak slot diberikan kepada pasukan daripada Eropah dan Amerika Selatan. Pasukan daripada Asia yang berjumlah 18 pasukan ketika itu, terpaksa bersaing dengan pasukan daripada Ocenia seperti Australia dan New Zealand untuk merebut hanya 1 tempat ke Piala Dunia.
Malaysia bernasib kurang baik, diundi menentang Hong Kong (ketika itu pasukan yang agak kuat) seawal pra-kelayakan, perlawanan yang akan menentukan Malaysia bakal diletakkan di kumpulan mana dalam Pusingan Kelayakan Zon Asia. Malaysia tewas tipis 0-1 kepada Hong Kong, dan akibatnya diletakkan dalam Kumpulan B, kumpulan yang sama dengan Korea Selatan, Thailand dan Israel (dahulunya merupakan negara Asia). Hong Kong yang menang, diletakkan dalam kumpulan A, lebih mudah dengan hanya ada Jepun dan Vietnam Selatan.
Squad 1972 sebenarnya sudah tua, dan Malaysia diwakili campuran pemain muda pada 1974. Nama-nama seperti Mokhtar Dahari dan A. Arumugum masih sahaja belasan tahun, menyertai Soh Chin Aun, Namat Abdullah, Mohamed Bakar dan Wan Zawawi yang belum menuju umur matang. Malaysia yang baharu dibentuk semula ini tewas 0-3 kepada Israel pada perlawan pertama Kumpulan B. Ternyata ini jawabannya kepada kenapa Malaysia boleh layak ke Sukan Olimpik dua tahun sebelumnya, tetapi gagal mara ke Piala Dunia 1974 dua tahun berikutnya.
Malaysia bagaimanapun bangkit untuk mengikat keputusan seri 0-0 dengan Korea Selatan pada perlawanan kedua, namun itu tidak memadai kerana hanya kemenangan sahaja boleh menghidupkan peluang Malaysia yang telah tewas kepada Israel 0-3 dalam perlawanan terdahulu. Apatah lagi, Korea Selatan dan Israel masing-masing membelasah Thailand 4-0 dan 6-0, maka keputusan seri 0-0 dengan Korea Selatan sudah menutup separuh pintu untuk terus mara ke Piala Dunia.
Malaysia menang 2-0 ke atas Thailand pada perlawanan terakhir, namun ia tidak membawa apa-apa makna apabila Israel dan Korea Selatan bermain untuk seri tanpa jaringan, yang menyaksikan kedua-dua Israel dan Korea Selatan mara ke peringkat seterusnya Pusingan Kelayakan Piala Dunia Zon Asia. Israel dengan 5 mata, diikuti Korea Selatan dengan 4 mata dan Malysia dengan 3 mata dan tersingkir. German keluar sebagai juara edisi Piala Dunia 1974 menewaskan Belanda.
Hakikatnya, Malaysia adalah pasukan meningkat naik sekitar 1975, malah Mokhtar Dahari pernah mengkagumkan Arsenal dalam perlawanan pershabatan antara Arsenal dengan squad negara. Namun masalah Malaysia ketika itu adalah faktor ekonomi. Malaysia ketika itu adalah negara yang baharu keluar daripada status negara mundur, dan mula cuba bekembang untuk menjadi negara dunia ke 3. Maka bolasepak tidak mendapat banyak dana untuk meningkat, menyebabkan Malaysia hanya punya perlawanan persahabatan dengan sesama negara Asia Tenggara untuk meningkatkan keupayaan.
Hasilnya, Malaysia menjadi Juara Sukan Sesa 1977, kemudiannya sekali lagi menjuarai Sukan Sea 1979, namun Malaysia gagal di peringkat lebih tinggi apabila kurang menyerlah di peringkat Asia apabila gagal dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia Zon Asia sekali lagi, kali ini pada 1978. Lebih banyak pasukan sudah mula menyertai usaha ke Piala Dunia, tetapi bilangan pasukan daripada Asia ke Piala Dunia tetap sama. Malaysia beraksi buruk dalam pusingan kelayakan apabila hanya berada di belakang Hong Kong dan Singapura, di tempat ke tiga Kumpulan 1 di depan Indonesia, Thailand dan Sri Lanka; dan tersingkir.
Ketika inilah gelaran Jaguh Kampung mula dikalungkan ke dakapan Malaysia lantaran kejayaan menjadi Juara dalam Sukan Sea, Pestabola Merdeka, Piala Raja Thai dan Piala Kemerdekaan Indonesia, hakikatnya (kecuali Sukan Sea) kesemua kejohanan ini adalah kejohanan persahabatan serantau. Sungguhpun layak ke Olimpik 1972, memenangi gangsa Piala Asia 1974, Malaysia gagal dalam Piala Asia 1978. Malaysia tewas semua perlawanan Piala 1978 malah melepaskan 10 gol.
Kegagalan 1978 adalah sepatutnya amaran untuk Malaysia mengubah pendekatan yang silap dalam menyiapkan squad negara (dalam konteks yang mendorong kepada gelaran Jaguh Kampung), tetapi ianya tidak berlaku kerana Malaysia dilalaikan oleh munculnya segerombolan generasi emas sekitar awal 1980an Nama-nama seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Chow Chee Keong, Hassan Sani, Bakri Ibni, Shukor Salleh, Khalid Ali, James Wong, Abdah Aliff, Yip Chee Keong, dan tentunya Mokhtar Dahari menyerikan bolasepak tempatan Malaysia dengan gemerlap.
Malaysia sangat hebat dengan mereka ketika itu, bangkit daripada 2 kegagalan berturutan – Kelayakan Piala Dunia 1978 dan kemudiannya Piala Asia 1978, Malaysia memenangi Sukan Sea 1979. Sungguhpun kegagalan dalam Piala Asia 1978 agak merisaukan, Malaysia sebaliknya berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980, dengan melepasi kumpulan yang mengandungi Korea Selatan, Jepun, Brunei, Indonesia dan Filipina. Malaysia menang 4 kali, seri 1 kali dan menjaringkan 21 gol dalam kempen yang cemerlang.
Malangnya, Malaysia tidak pergi ke Moscow, lantaran boikot yang Kerajaan Malaysia berikan kepada Rusia atas krisis politik (melibatkan Afganistan) ketika itu, yang tampak menyebabkan kejatuhan moral para pemain yang bukan kepalang. Malaysia menyertai blok Amerika untuk memboikot blok Komunis, dan Sukan Olimpik terkena tempiasnya. Iraq mengambil tempat Malaysia di Moscow dan mara sehingga ke suku akhir.
Malaysia sebaliknya cuba bangkit, dan mampu layak ke Piala Asia 1980, tetapi hanya mampu bertahan di peringkat kumpulan, lantas menjadikan edisi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 1982 sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu. Liga bolasepak tempatan ketika ini sangat memuncak, dengan Selangor dan Singapura merajai kelangsungan liga dengan hebat. Ia secara tidak langsung menyaksikan musim sibuk liga Malaysia (dahulu Piala Malaysia) di sampiing Pial FAM (peringkat kelab) menjadikan para pemain kebangsaan tampak penat dengan perjalanan bolasepak tempatan.
Ia menyaksikan Karl Heinz Weigang, Jurulatih yang membawa Malaysia layak ke Moscow, berusaha keras membentuk squad yang berdaya saing. Bersama Abdul Rahmad Ibrahim (Penolong Jurulatih) dan Abu Bakar Daud (Pengurus) Malaysia memulakan misi Kelayakan Piala Dunia 1982 dengan 2 perlawanan persahabatan antarabangsa. Malaysia memulakanya menentang Singapura yang ketika ini bangkit dengan squad hebat dengan nama-nama besar seperti Samad Alipitchay, Fandi Ahmad dan ramai lagi. Ianya bukan mudah, ianya sengit seumpama perlawanan akhir Piala Malaysia, dan keputusan berakhir seimbang 1-1 di Stadium Kallang.
Malaysia seterusnya menentang Americano Futeball Clube, kelab daripada Brazil yang sedang dalam Jelajah Asia di Korea Selatan. Ini agak menghairankan, memandangkan Malaysia memilih untuk bermain perlawanan pemanas badan di Korea yang sejuk, sedangkan kempen Kelayakan Piala Dunia bakal berjalan di Kuwait yang panas. Jarak ke Korea yang jauh, setelah kepenatan menentang Singapura yang seumpama perlawanan akhir Piala Malaysia nyata meletihkan para pemain.
Ia akhirnya Malaysia yang tampak kurang bersedia secara fizikal dalam mengharungi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 1982. Disebalik memiliki generasi emas, Malaysia menang menewaskan UAE 2-0, dan hanya mampu seri dengan Korea Selatan dan Qatar 1-1, malah tewas kepada Kuwait 1-3 sekaligus menutup ruang untuk mara ke Piala Dunia, yang kali pertama menambah penyertaan pasukan daripada enam belas kepada dua puluh empat, dengan satu lagi kuota tambahan untuk Asia kepada dua.
Masalah pengurusan dalam mempersiapkan squad juga disebut media ketika itu sebagai punca kenapa Generasi Emas Malaysia boleh tersingkir di Kuwait, yang sepatutnya medan buat Malaysia menunjukkan sesuatu dalam bolasepak. Unsur ‘favouritisme’ ‘kronisme’ tampak mempengaruhi pengurusan pemain, dengan ada pemain yang boleh dikecualikan daripada kem berpusat sebelum ke Kuwait dan dibenarkan mewakili pasukan negeri sedangkan pemain lain perlu berkumpul dan berlatih bersama.
Masalah-masalah sebegini menjadi barah dalam pasukan, menyebabkan Generasi Emas ini tidak bersatu dalam sebuah pasukan yang utuh di Kuwait, sedangkan mereka sangat hebat dalam persembahan Piala Malaysia sepanjang musim. Ia dalah bukti bertulis kenapa Malaysia terus gagal melayakkan diri ke Piala Dunia ketika itu walaupun hakikatnya memiliki stok pemain yang sangat berbakat, yang tidak kedapatan lagi sehingga bolasepak hari ini.
Malaysia selepas itu meneruskan era bolasepaknya dengan generasi Zainal Abidin Hassan, diikuti generasi Azman Adnan dan kemudiannya dirosakkan oleh gejala rasuah bolasepak yang membunuh kelangsungan bolasepak kebangsaan. Ramai pemain yang dibuang daripada bolasepak seumur hidup ketika itu, dan pembangunan kemudianya diusahakan semula peringkat demi peringkat, sehinggalah munculnya NFDP, Akademi Mokhtar Dahari dan kelab-kelab remaja persendirian yang mula memberi semula nyawa kepada bolasepak negara di masa depan.
Adakah sinar ini akan terus berkembang mencetuskan hasilnya? Hanya masa akan terus-terusan menjadi saksi. Semoga tiada lagi kesilapan pengurusan menyebabkan bolasepak Malaysia tertahan daripada terus melantun seperti musim-musim sebelumnya, dan Malaysia akhirnya bermain dalam Piala Dunia seperti yang kita mimpi-mimpikan sedemikian lama.
#eH
