Menulis Artikel

Bagaimana Menulis Artikel Majalah?

Edisi terkini Buletin FTMK datang lagi. Itu yang biasa kita dengar bila setiap kali tiba bulan ketiga mahupun bulan kelapan saban tahun. Biasa kita terbaca akan iklan memohon artikel untuk majalah rasmi fakulti kita yang secara rutinnya akan terbit setiap Jun dan Disember. Terdetik di hati kita untuk menulis. Tetapi, apa yang ingin kita tulis? Apa ceritanya? Bagaimana mengolahnya? Banyak mana perlu kita tuliskan? Mengenai apa dan untuk siapa? Terlalu banyak persoalan yang berlegar di benak kita yang akhirnya menyebabkan kita tidak menulis apa-apa. Kita jadi buntu untuk berkarya walaupun kita tahu, artikel tersebut hanya sekajang kertas sahaja. Untuk itu, artikel ini menelurkan secebis idea tentang bagaimana untuk menulis artikel untuk sebuah majalah. Ianya pasti berbeza dengan penulisan jurnal, kertas persidangan mahupun buku akademik. Penulisannya seharusnya lebih ringkas dan padat dengan pendekatan yang lebih mesra pembaca.

1.Pilih Tajuk

Tajuk perlu tepat kepada apa yang kita mahu tuliskan. Tajuk yang meleret-leret dan terlalu panjang amat tidak sesuai.

2.Tahu Pembaca Anda

Kita perlu sedar akan aras kedudukan pembaca sama ada peringkat asas, pertengahan, mahupun pembaca mahir. Sebagai contoh, jika anda menulis rencana tentang “Merangkaikan Komputer,” maka pembaca kita yang baru dalam hal merangkaikan komputer boleh faham, dan pada masa yang sama peringkat pertengahan dan mahir boleh juga menerima ianya secara minima.

3.Buat Penyelidikan Ringkas

Sejauh manakah kita tahu tentang topik? Adakah ia sesuatu yang kita boleh menulis dengan mudah tanpa persediaan ataupun perlu melakukan sedikit persediaan, atau ada keperluan untuk kita mendapatkan maklumat daripada pakar? Melawat perpustakaan, carian dalam talian ataupun menemuduga mungkin menjadi pilihan bagi kita mendapatkan maklumat.

4.Memutuskan Panjang Artikel

 

Penerbit majalah dan akhbar sering akan memberi kita had berkaitan panjang sesebuah artikel, dan ini wajib kita patuhi. Tentukan perkara yang penting sahaja untuk dimuatkan ke dalam artikel. Ingat, artikel yang berjela-jela akan disunting oleh penerbit, yang kadangkala menyimpangkan maksud asal penulisan.

5.Menyediakan Garis Panduan

Bukan semua orang menulis garis panduan penulisan sebelum menulis, tetapi ia boleh membantu anda untuk menyusun buah fikir. Mulakan dengan pengenalan yang membawa kepada titik utama, diikuti sekurang-kurangnya tiga perenggan badan, dan kesimpulan.

6.Draf Kasar Artikel

Beritahu pembaca kita apa yang kita akan memberitahu mereka. Ini kata pemula. Contohnya: Artikel ini menerangkan bagaimana untuk merangkaikan komputer. Kita seterusnya perlu mengandaikan bahawa pembaca tidak tahu akan maklumat yang ingin kita sampaikan. Seterusnya penulisan boleh diteruskan berdasarkan draf kasar tersebut.

7.Memperbetulkan Artikel Anda

Baca artikel kita dengan kuat dan berulang-ulang untuk memastikan apa yang kita tulis masuk akal. Tajamkan mata untuk mengenalpasti kesalahan ejaan atau miskin tatabahasa, dan pastikan kita memeriksa fakta sekurang-kurangnya dua kali.

8.Menulis Semula Artikel

Menulis semula dan semula artikel seberapa kerap yang boleh kerana ianya mampu menambah baik kualiti artikel. Sebaik sahaja artikel telah ditulis dan ditulis semula, minta rakan yang boleh dipercayai untuk membaca karya dan pohonkan maklum balas yang membina daripada mereka.

9.Memasukkan Gambar

Jika ia sesuai untuk format, masukkan gambar. Ia akan menonjolkan artikel dan mampu member kesan dramatik kepada pembacaan.

10.Hantarkan Artikel

Pastikan artikel yang telah siap ditaip dihantarkan kepada editorial majalah untuk terbitan dan kita harus pasrah bilamana artikel tersebut ditolak oleh editorial.

Artikel ditulis oleh

Hamid E. (FTMK, UTeM)

[Diterbitkan dalam Buletin FTMK Edisi Jun 2012]

 

Leave a Reply