Selamat kembali ke fakulti, dan selamat memulakan semula sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) secara fizikal.
Untuk makluman semua, beberapa penambahbaikan melalui proses perolehan peralatan telah dilaksanakan sepanjang cuti semester yang lalu. Antaranya melibatkan Makmal Huawei, Studio Multimedia, Makmal Sistem & Perkakasan, Makmal Sistem, dan Makmal Pangkalan Data 3. Tuan/Puan juga mungkin akan mendapati beberapa bilik kuliah dan makmal telah dilengkapi dengan projektor dan Smart TV baharu. Selain itu, beberapa ruang turut menerima kemudahan meja dan kerusi baharu, antaranya Bilik Kuliah 13 dan 14. Diharapkan perolehan ini dapat membantu melancarkan proses PnP yang akan dijalankan.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa ruang yang masih dalam proses pemasangan dan pengujian, antaranya Studio VR. Sehubungan itu, mohon kerjasama pengguna untuk bersedia memberi ruang dan masa bagi kerja-kerja pemasangan peralatan baharu demi kemudahan bersama pada masa hadapan. Segala kesulitan yang dihadapi amatlah dikesali.
Ucapan terima kasih juga dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan urusan perolehan ini.
Kami juga ingin mengingatkan bahawa kelancaran penggunaan peralatan ini dalam jangka masa panjang bergantung kepada kerjasama semua pihak dalam menjaganya. Antara perkara yang ingin ditekankan kepada para pensyarah adalah dengan menggunakan komputer yang telah disediakan di bilik kuliah dan makmal, bagi mengelakkan kekerapan mencabut kabel paparan (display cable) yang boleh menyebabkan kerosakan pada port paparan (display port) komputer sedia ada. Selain itu, semua pengguna, sama ada pensyarah mahupun mahasiswa/mahasiswi, dimohon untuk memasang semula kabel rangkaian (network), bekalan kuasa (power), dan kabel paparan selepas digunakan, bagi memastikan kemudahan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik untuk pengguna seterusnya.
Kerjasama semua pihak dalam mematuhi peraturan yang telah ditetapkan amatlah dihargai.
Terima kasih dan selamat kembali ke FTMK.
𝙏𝙨. 𝙈𝙪𝙝𝙖𝙢𝙢𝙖𝙙 𝙃𝙚𝙡𝙢𝙮 𝙗𝙞𝙣 𝙀𝙢𝙧𝙖𝙣
𝑷𝒆𝒏𝒚𝒆𝒍𝒂𝒓𝒂𝒔 𝑴𝒂𝒌𝒎𝒂𝒍 𝑭𝑻𝑴𝑲